MEMINTA PERTOLONGAN JIN??

Jin adalah makhluk Allah Ta'ala yang diciptakan daripada api. Dalam kehidupan sehari-hari, kita juga hidup di samping Jin dan Syaitan dalam alam kehidupan yang berlainan. Manusia (insan) hidup dengan keadaannya sendiri manakala Jin pula dengan kehidupannya. Tidak dinafikan bahawa makhluk Allah ini menakutkan manusia, tetapi ianya tidak seharusnya ditakuti melebihi ketakutan (khauf) kepada Allah Ta'ala. Sekiranya berlaku yang demikian, maka dikhuatiri berlaku syirik kepada Allah Ta'ala. Na'uzubillahi min dzalik.

Makhluk Jin ini tidak dapat dilihat di dalam bentuknya yang asal, kecuali di dalam bentuk jelmaan atau rupa yang lain. Jin juga diciptakan Allah untuk mengabdikan dirinya kepada Allah Ta'ala, sebagaimana juga manusia. Jin juga ada yang Islam dan ada yang kafir. Ada yang beriman dan ada yang tidak. Ada yang taat dan ada yang tidak. Inilah hakikatnya kehidupan. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud, "Dan tidak diciptakan Jin dan Insan (manusia) melainkan untuk beribadat kepada-Ku". Oleh yang demikian, Jin ini hidup di alamnya dengan rupa kehidupannya yang tersendiri. Jin hidup, berkahwin, beranak pinak dan mati. Itulah hakikatnya.

Dalam kehidupan manusia, ada juga di kalangan kita yang beramal dengan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Allah Ta'ala semata-mata untuk hidup masyhur atau untuk bermewah-mewah dan disanjung di dunia. Mereka sanggup walaupun terpaksa menentang arus perintah Allah sekalipun. Ada yang mendapatkan pertolongan Jin untuk hidup mewah, awet muda, kaya dan pelbagai tujuan lagi. Makhluk ini mengganggu manusia dengan cara merasuk atau masuk ke dalam tubuh badan manusia, sebagai medium. Secara hakikatnya, Jin boleh ditewaskan. Mereka juga adalah makhluk Allah Ta'ala sebagaimana kita juga. Mohonlah perlindungan kepada Allah di dalam segala sesuatu. Bacalah taawwudz untuk melindungi diri kita daripada gangguan makhluk Allah ini. Jauhilah perbomohan. Berhati-hatilah di dalam kehidupan kita daripada terlibat dengan segala aktiviti yang bertentangan dengan perintah Allah. Aktiviti perbomohan, perdukunan, pawang atau yang semakna dengannya adalah bertentangan dengan syariat kecuali yang selari dengan ajaran Islam seperti menggunakan kaedah al-Quran, Sunnah dan Ruqyah. Nabi al-Musthofa Sayyidina Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang hadir kepada Arraf (tukang tenung) dan Kahin (bomoh), maka membenarkan apa yang ia katakan, maka telah kafir ia kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad SAW". Bomoh, dukun atau pawang ini tidak berupaya untuk melakukan perbomohan (yang dimaksudkan di sini ialah yang bertentangan dengan syariat Allah) jika tidak mendapat pertolongan Jin. Mohonlah kepada Allah agar dijauhkan daripada kejahatan golongan ini.

Memohon bantuan Jin?

Di dalam kitab Bahrul Madzi (syarah bagi kitab Mukhtasar Sahih Tirmidzi) yang ditulis di dalam bahasa Melayu Jawi oleh Almarhum Syeikh Muhammad Idris bin Abdurrauf Al-Marbawi Al-Azhari. Di sini adalah petikan penuh daripada kitab tersebut.

" 412 - Masalah: Bertolong dengan Jin (kata Zabidi) Rahimahullah Ta'ala - dan tiada hari bertolong dengan Jin pada menyempurnakan segala hajatnya, dan menjunjung suruhnya, dan mengambil khabarnya dengan sesuatu daripada segala yang ghaib-ghaib dan seumpama demikian itu. Dan bersuka-suka bangsa Jin dengan bangsa manusia itu ialah membesarkandia dan membetulkandia dan minta tolongnya dan merendah diri bagi dan satu macam daripada mereka itu dengan segala kelakuan macam Syaitan, dan zahir dengan tari menari dan apa-apa perbuatan jalang, dan bercakap dengan orang-orang sufi, dan ada bagi mereka itu perkara macam menyalahi adat yang bermaksud mereka itu wali-wali Allah Ta'ala, dan adalah setengah daripada sekalian ini orang yang menolong orang-orang kafir atas melawan orang-orang Islam, dan berkata mereka itu bahawasanya Rasul telah menyuruh mereka itu memerangi muslimin serta orang-orang kafir kerana adalah orang-orang Islam telah derhaka semuanya maka mereka ini pada hakikatnya saudara-saudara kafir dan penurut-penurut Syaitan. Maka jika tetap ada mereka itu maka mereka itu daripada Jin kerana manusia itu tiada ada terdinding daripada mata manusia, dan boleh terdinding pada satu-satu masa sahaja. Maka sesiapa sangkakan mereka itu daripada manusia maka iaitu daripada salahnya dan jahilnya dan sebab kesesatan pada mereka itu, dan ikhtilaf ketiadaan para antara aulia' arrahman dan antara aulia' assyaitan.

Maka pendidikan tahukan ghaib itu satu perkara yang menunggal dengan dia oleh Allah Subhanahuwata'ala dan tiada jalan kepadanya bagi hamba-hamba melainkan dengan diberi tahu daripadanya, dan ilham dengan jalan mukjizat atau karamah atau pertunjukan kepada mengambil dalil dengan beberapa alamat pada barang yang memakan padanya demikian itu. Dan setengah daripada perkara yang pelik iaitu hikayat seorang tukang nujum kepada sula maka ditanya orang baginya tidakkah sudah ada kamu lihat ini pada nujum kamu, maka jawabnya ku lihat di atas tetapi tidak aku tahu di atas kayu sula pula Wallahua'lam."

Daripada kitab Bahrul Madzi, jilid kesembilan, juzuk 18, muka surat 228.

No comments:

Post a Comment