INGATILAH JASA GURUMU...

Kita sebagai insan (manusia) dilahirkan ke dunia ini tanpa apa-apa bekalan untuk hidup melainkan kekuatan dan sumber-sumber kehidupan yang lain. Kita membesar dengan kudrat kurniaan Allah dan mengenali dunia jua dengan ilmu Allah. Allah Ta'ala menyatakan di dalam Al-Quran, yakni dalam Surah Ar-Rahman dinyatakan bahawa "Yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". Benar....kita lahir tanpa apa-apa pengetahuan melainkan naluri semulajadi insan sebagai bekalan untuk menempuh pelbagai cubaan dunia. Insan itu akan membesar, menempuh alam remaja dan seterusnya tumbuh sebagai seorang dewasa yang tertanggung padanya segala taklif. Hidup ini akan pincang haluannya tanpa ilmu pengetahuan.


Proses mendapatkan ilmu bukanlah mudah melainkan melalui pembelajaran dan pengajaran. Inilah juga kaedah yang digunakan ketika Malaikat Jibril menyampaikan wahyu Ilahi kepada junjungan besar Nabi al-Musthofa Muhammad SAW. Malaikat Jibril (pengajaran) dan Nabi Muhammad SAW (pembelajaran). Kedua-dua proses ini adalah dua perkara yang perlu untuk mendapatkan ilmu. Selain itu pembacaan, kajian, muhasabah dan beberapa kaedah lain juga adalah kaedah-kaedah yang berkaitan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan. Dalam hidup seseorang insan, kita melalui kehidupan ini dengan proses ilmu pengetahuan, mempunyai guru sama ada secara formal ataupun tidak. Oleh yang demikian, selain ibu bapa, guru adalah insan yang amat berharga dalam kehidupan seseorang manusia. Tanpa mereka bagaimana kita akan menghadapi kehidupan ini dengan pelbagai cubaan dan segala macam perkara tanpa ilmu, oleh itu amatlah penting jasa seseorang guru dalam kehidupan.


Ingatilah jasa-jasa mereka sentiasa. Walau apapun bidang kepakaran mereka, mereka adalah guru kita. Sama ada guru agama, kejuruteraan, pembinaan, pertukangan dan apa pun jua bidang mereka tetap guru kita. Apabila kita mendapatkan ilmu daripada mereka (ilmu berasal daripada Allah, guru hanyalah medium penyampaian), mereka telah menjadi guru kita walau hanya sedikit sahaja perkara yang diajarkan. Mereka adalah guru kita, walau apa pun istilah atau panggilan yang digunakan sama ada cikgu, guru, ustaz, pensyarah, profesor, mahaguru atau apa pun gelarannya. Ingatlah mereka adalah guru kita. Bahkan Islam menggariskan adab-adab dengan guru. Jasa mereka ini akan berterusan hingga akhir hayat kita. Saya tidak menggunakan istilah bekas guru atau bekas pensyarah untuk guru-guru dan pensyarah-pensyarah saya. Bagi saya, jika saya menggunakan istilah tersebut bermakna saya menafikan jasa mereka atau 'membuang' mereka setelah tamat belajar dengan mereka. Apakah ini dikatakan sebagai penghargaan buat mereka? Janganlah lakukan perkara sebegini kepada guru-gurumu. Jangan. Saya masih ingat, apabila saya mendapat balasan mesej daripada pensyarah saya Encik Razali Aripin yang bertanyakan mengapa saya masih menghubungi dan mengingati beliau? Saya menjawabnya, "kerana Encik adalah guru saya, jasa Encik takkan saya lupakan". Dan saya mendapat jawapan yang mengharukan hati saya. Betapa perasaan itu menambah kasihku kepada guru-guruku. Terima kasih atas jasa kalian. Lihatlah, besarnya kesan rohani seorang guru yang ikhlas terhadap tugas dan amanahnya.


Hubungilah guru-gurumu, agar kalian mengetahui perkembangan mereka. Ziarahlah mereka sekiranya mereka sakit dan doakanlah, hubungkanlah silaturrahim dengan mereka secara ikhlas dan hormatilah mereka selalu. Jagalah adabmu apabila bersama dengan mereka. Pensyarah saya yang dikasihi, Encik Mohd Radhi bin Musa@Ismail, semoga Allah memeliharanya selalu. Amin. Sungguh, pensyarah ini memberikan kesan yang amat besar dan mendalam terhadap hidup saya, yang mengajar dan mendidik saya. Pensyarah kejuruteraan yang kini berkhidmat di Arau, Perlis ini boleh dianggap sebagai abang yang prihatin. Tangannya saya cium apabila bertemunya. Sungguh jasanya amat besar terhadap saya. Selama dua tahun bersamanya, begitu memberikan kesan kepada saya. Teguran dan nasihatnya terhadap saya takkan saya lupakan, terima kasih Encik Mohd Radhi bin Musa@Ismail.


Saya masih ingat apabila mengetahui guru al-Quran saya, Almarhum Haji Hamzah meninggal dunia saya menitiskan air mata kesedihan. Saya menangis setiap kali terkenangkannya. Betapa tidak, jasa dan ilmu yang diberikan tidak terbalas. Setiap kali pulang ke Terengganu, saya akan cuba untuk menemui guru-guru, pensyarah-pensyarah saya. Encik Zulkifli bin Taib antaranya. Mereka adalah penerang jalan kehidupan saya. Semoga Allah merahmati mereka selalu. Amin.


Saudaraku, cubalah luangkan masa untuk menemui mereka walaupun mereka adalah guru kalian semasa di zaman persekolahan dulu. Doakanlah mereka, hadiahkanlah mereka amalan sekiranya mereka telah kembali kepada Rabbul Izzati. Hormatilah guru atau pensyarah kita sebaik-sebaiknya selagi mana ianya tidak melanggar batasan syarak dan membawa maslahah hasanah. Betapa ramainya insan yang melupakan gurunya setelah tamat pengajian. Janganlah kalian melakukan sedemikian rupa. Kalian memang manusia yang tidak tahu menghargai sesuatu yang berharga jika itu yang kalian lakukan. Ingatlah, tanpa jasa mereka apakah mungkin kalian boleh menikmati pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi? Tanpa mereka apakah kalian mampu menyandang jawatan-jawatan penting? Atau setidak-tidaknya mempunyai firma perniagaan sendiri? Mungkin ada yang berkata, "aku mempunyai bakat tersendiri. Bakat semulajadi". Benarkah begitu? Benarkah manusia seperti ini berkemampuan melakukan segala sesuatu hanya dengan berbekalkan naluri dan bakat semata-mata, tanpa bimbingan guru? Sedangkan semulia-mulia insan Nabi Muhammad SAW mempunyai guru. Guru utusan dari langit.


Saudaraku. Janganlah terlalu menyombong diri dengan mereka. Dahulunya, merekalah yang membimbingmu. Merekalah yang menegurmu. Merekalah yang mengajarkanmu sesuatu yang amat memberi manfaat untuk kehidupanmu, apatah lagi manfaat itu adalah manfaat agama. Manfaat yang berupa ilmu agama. Ingatilah jasa-jasa mereka.


Selain ibu bapa, merekalah insan yang berharga. Ingatilah mereka, walau jasad mereka dipeluk tanah. Doakanlah mereka ketika hidup ataupun mati. Kepada guru-guru dan pensyarah-pensyarahku, Ustaz Yunus, Ustaz Shukri, Ustaz Hisham, Cikgu Afifi, Encik Mohd Radhi Musa@Ismail, Encik Mohd Zulkifle Taib, Encik Razali Aripin, Encik Mohd Shafian, Puan Hazanal Suzima Hassan, Puan Azila Ahzi, Encik Khamsan Anas, dan seluruh yang lain. Semoga Allah Ta'ala memelihara, melimpahkan rahmat-Nya, memberikan hidayah-Nya dan sentiasa merahmati kalian. Amin





oleh:
ABDUL LATIFF BIN MOHAMAD
26 Oktober 2009,
bersamaan 7 Dzulqaedah 1430 Hijrah,
12.30 pm,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment