MELAYU PERLU BANGKIT

Deretan kedai dan premis-premis perniagaan lain menghiasi jalan-jalan di sepanjang jalan Pulau Pinang. Aktiviti perniagaan yang rancak dan menyumbang pelbagai hasil ekonomi kepada kemajuan negeri ini. Masing-masing dengan kesibukan tersendiri, menguruskan perniagaan mereka. Aktiviti perniagaan berjalan seiring dengan kesibukan kota Georgetown. Bandar yang suatu masa dahulu pernah mendapat taraf bandaraya. Bandar yang sibuk dengan segala macam aktiviti perniagaan dan ekonomi sama ada halal atau haram, bermoral ataupun tidak.


Sebuah kereta mewah Mercedes Benz kelihatan memasuki premis perniagaan, dan seorang lelaki berpakaian sut hitam, segak dan kemas keluar daripada kenderaan tersebut. Seorang lelaki berbangsa Tionghua, ahli perniagaan yang berjaya. Berjalan dengan penuh gaya, kredibiliti dan mempunyai perwatakan sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya. Premis yang gah di pusat ekonomi ini menunjukkkan kekuatannya dalam menerajui sebuah firma perniagaan yang berpotensi tinggi. Di mana-mana sahaja laluan di Pulau Pinang kelihatan premis-premis perniagaan yang sentiasa aktif tanpa mengira waktu. Kebanyakannya dikuasai oleh peniaga Cina, selain golongan India Muslim (Mamak). Golongan peniaga Melayu juga tidak ketinggalan, tetapi mereka agak ketinggalan dalam arus pembangunan dan perniagaan di sini. Inilah hakikatnya dan ianya perlu disedari oleh orang Melayu sendiri. Saya tidak bermaksud melemahkan semangat bangsa saya, bahkan bersama-sama dalam berjuang dan berusaha menaikkan semangat bangsa untuk muncul unggul di tanah airnya sendiri. Saya bukan assabiah. Inilah antara drama kehidupan di kota ini. Pembangunan negeri yang memberangsangkan, seiring dengan kerja keras warganya. Inilah realiti kehidupan bangsa yang berjaya.


Kenapa kebanyakan daripada ahli perniagaan yang berjaya daripada kalangan bangsa Cina? Mereka suka bekerja keras dan sanggup memanfaatkan sepenuhnya waktu yang ada untuk menghasilkan sesuatu yang boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi mereka. Mereka berani untuk menghadapi segala risiko yang sudah pasti wujud di dalam aktiviti perniagaan. Berfikiran positif dan terlibat aktif dalam persatuan. Golongan peniaga Cina juga sanggup untuk berkongsi pengalaman dan membantu golongan ahli perniagaan di kalangan mereka yang masih belajar untuk menapak di dalam bidang ini. Inilah antara sikap yang jarang-jarang ada di kalangan bangsa Melayu, bangsa saya sendiri. Bangsa Cina boleh hidup berdikari di mana jua mereka berada. Walau di Papua New Guinea sekalipun. Harapan saya untuk melihat bangsa saya bersaing sepenuhnya dengan mereka dalam segala bidang yang kini dikuasai mereka. Sama ada bidang perindustrian, perkilangan, perhotelan, pertanian, penternakan, makanan dan sebagainya yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Kita perlu sedar bahawa apabila ditinjau daripada peratusan sumbangan ekonomi negara, kebanyakannya datang daripada industri yang dikuasai oleh mereka. Bangsa Melayu asalnya adalah bangsa pedagang. Tetapi, dasar British ketika pendudukannya di Tanah Melayu ketika itu merangka penempatan Melayu di luar kawasan bandar.


Sudah berdekad lamanya bangsa Melayu berjuang untuk memajukan kehidupan mereka di tanah kelahiran mereka sendiri. Kita berbangga dengan kejayaan ahli-ahli perniagaan Melayu yang berjaya mengatasi bangsa lain sehingga berjaya melebarkan aktiviti perniagaannya ke luar negara, sekaligus memperkenalkan negara Malaysia di mata dunia. Saya berharap untuk melihat lebih banyak firma perniagaan Melayu dibina di tengah kota, bersaing bersama-sama dengan firma-firma perniagaan lain.


Bangsa Melayu kini bukanlah sebagaimana dulu lagi. Melayu kini lebih berpelajaran, berfikiran positif, terbuka, bersemangat tinggi dan rela bersaing bersama-sama bangsa lain untuk memastikan dan membuktikan mereka juga mampu membina kejayaan yang membanggakan.


Melayu perlu menjadi jaguh dalam bidang perniagaan. Kerana perniagaan adalah 9/10 sumber rezeki. Nabi Muhammad SAW menyatakannya di dalam hadis Baginda. Sebagai umat Melayu-Islam di Malaysia, kita perlu bangkit melawan arus bagi memastikan keupayaan kita untuk muncul sebagai pesaing yang hebat dan akan menerajui perniagaan dan ekonomi di Malaysia. Kita perlu belajar lebih banyak untuk mengendalikan perniagaan. Saya mempunyai impian untuk memiliki dan mengendalikan syarikat saya sendiri suatu hari nanti. InsyaAlllah.


Kita perlu menerima hakikat bahawa kebanyakan daripada keperluan kita hari ini (untuk umat Islam) dibekalkan oleh peniaga bukan Islam. Bahan makanan, keperluan harian dan sebagainya juga dibekalkan oleh bukan Islam (majoriti daripada penganut Islam di Malaysia adalah orang Melayu). Jadi adalah penting bagi umat Melayu terlibat secara aktif dan menjadi peneraju bagi sumber-sumber penting ini. Pemilikan ekuiti di kalangan bangsa Melayu juga masih tidak memuaskan. Masih jauh. Sebab itulah Mantan Perdana Menteri, Tun Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan Dasar Ekonomi Negara (DEB). Janganlah berputus asa dan yakin bahawa kita juga mampu untuk muncul sebagai peniaga dan usahawan yang sentiasa produktif dan unggul di Malaysia. Jadilah tuan di tanah sendiri.



oleh:

ABDUL LATIFF BIN MOHAMAD
26 November 2009,
bersamaan 22 Dzulqaedah 1430 H,
5.05 pm,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment