WAHAI TUHANKU

WAHAI TUHANKU
Wahai Tuhan,
Kau jadikan diriku dengan sempurna,
Namun ku cemari jiwaku dengan dosa-dosaku,
Oh Tuhan,
Ampunkanlah diriku,
Biar hancur luluh jasadku,
Walau sekotor mana maruahku dicemari,
Walau sekeji mana namaku dihinakan,
Tidakku pedulikan lagi Ya Rabbi,
Asalkan ku diampunkan oleh-Mu,
Wahai Tuhan,
Ke manakah kiranya aku?
Sungguh ku takut akan bakaran neraka-Mu,
Namun.....layakkah diriku menempati syurga-Mu?
Sungguh jiwaku telah dikotori,
Dikotori oleh dosa-dosaku,
Oh Tuhan,
Ku pohonkan keampunanmu,
Demi keampunan-Mu wahai Allah,
Ku hadhratkan taubatku pada-Mu,
Dosaku menjadi bentangan hitam di hatiku,
Ku sucikan ia dengan ayat-Mu,
Jua dengan alunan zikir pada-Mu Tuhan,
Ku cuba bersihkan jiwaku,
Ku cuba hilangkan karat hatiku,
Terimalah segala taubatku Tuhan,
Wahai Al-Latiff,
Wahai Ar-Rahman,
Wahai Al-Ghafur,
Wahai yang menerima taubat hamba,
Ku hanya hamba yang daif,
Lagi hina diriku,
Layakkah aku menjadi hamba-Mu Tuhan?
Layakkah aku menjadi umatmu duhai Nabi Al-Musthofa?
Sungguh ku mencemari diriku,
Jua hati dan jiwaku,
Duhai ruh,
Ampunilah jasadmu ini,
Padanya berselaput dosa,
Ya Allah,
Aku bertaubat pada-Mu,
Terimalah duhai Tuhan,
Tahajjudku di malam hari,
Di kesepian malam yang menyelimuti,
Tasbihku jua di situ,
Ku hadhratkan pada-Mu Tuhan,
Air mataku menitis memohon keampunan-Mu,
Dosaku terlalu banyak tak tertahankan,
Ya Allah,
Ku takut akan azab dan balasanmu,
Ya Allah Ya Tuhanku,
Bentangkan padaku kesalahanku,
Agar bisa untuk ku mohon ampun pada-Mu,
Ya Rabbi,
Apakah dosa-dosa ini ujian-Mu padaku?
Ku terimanya dengan terbuka duhai Tuhanku,
Termaktub sudah dalam kitab-Mu,
Kalam-Mu yang suci,
Akan Kau uji orang beriman itu,
Untuk diuji sekuat mana keimanannya,
Ku telah diuji Ya Tuhanku,
Ujian yang berat untuk ku tanggungkan,
Apakah lulus Ya Tuhan,
Oh...sungguh tak ku ketahui nasibku,
Di sana nanti,
Apakah bahagia atau celaka?
Nikmat atau sengsara?
Ya Allah...Ya Allah...Ya Allah,
Ampunilah diriku kerana kehinaanku,
Sungguh ku menghinakan,
Menghinakan jiwaku sendiri,
Tak tertahan beratnya jiwaku,
Menahan beban di hatiku,
Yang terkadang terpesong dari jalanku,
Ya Tuhan,
Engkau jadikan manusia itu sempurna,
Dengan hati yang putih bersih,
Namun dikotori hati oleh manusia jua,
Begitu jua diriku Tuhan,
Ku hanya insan yang daif,
Setiap malam....di pertengahan malam,
Ku henyakkan dahiku ke tanah,
Menghinakan diri di hadapan-Mu,
Merintih sayu Ya Tuhanku,
Agar Engkau menerima amalan dan taubatku,
Taubat si hamba yang berdosa,
Engkaulah Ya Rahman,
Engkaulah Ya Rahim,
Ya Tuhan,
Ku sedar diriku,
Bersalah pada-Mu,
Jua pada hamba-Mu,
Aku hanyalah hamba,
Yang merantau di gersang dunia,
Yang mencari keredhaan-Mu,
Barzakh jualah tempatku hadapi...Tuhan,
Yang aman mahupun tidak,
Si insan akan pasti menempuhinya,
Aku hanyalah hamba,
Yang berdosa,
Yang menghinakan jiwanya,
Sungguh tak layak menghirup nikmat udara-Mu,
Namun jalan hidup telah ku tempuhi,
Resam dunia yang pasti,
Apakah nasibku nanti?
Jika jiwaku masih dikotori?
Jika dosaku tak terampuni,
Janganlah berputus asa wahai insan,
Bukankah Allah itu Maha Pengampun?
Panjatkanlah duhai insan,
Panjatkanlah keampunan kepada-Nya,
Ya Allah,
Terimalah taubatku,
Ya Allah....engarkanlah rintihanku,
Amin.....
oleh:
Al-Faqir Ilallah,
ABDUL LATIFF BIN MOHAMAD
ditulis pada hari Rabu, 10 Jun 2009,
bersamaan 16 Jamadilakhir 1430 Hijriah,
jam 9:54 pm,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment