PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH.....SEDARLAH!

Kalimah ALLAH merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada hak selain-Nya untuk disembah dan pengabdian hanya kepada-Nya semata-mata. Dialah yang menciptakan segala-galanya sama ada di langit mahupun di bumi dan antara keduanya. Allah adalah Tuhan yang disembah dan diabdi oleh umat Islam, dan nama ALLAH adalah 'hak eksklusif' umat Islam. Memang, umat Arab jahiliah suatu masa dahulu, apabila ditanya kepada mereka bahawa siapakah yang mencipta mereka? Mereka akan menjawab, Allah. Perkataan Allah berasal daripada frasa Al-Ilah, yang bermaksud Tuhan. Itu adalah maksud daripada sudut bahasa.

Saya membaca akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Januari 2010, Sabtu bersamaan 16 Muharram 1431 Hijriah yang melaporkan tentang keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Gereja Katolik untuk digunakan dalam penerbitan mingguannya, Herald The Catholic Weekly. Keputusan mengejutkan ini mengundang pelbagai reaksi daripada ulama', pemimpin, NGO dan juga umat Islam yang lain. Kalimah Allah hanya terdapat di dalam kitab al-Karim, al-Quran. Allah Yang Maha Esa tidak boleh disamakan dengan ideologi dan doktrin agama yang menggunakan konsep Trinity yakni tiga Tuhan tunggal. Sedarlah wahai umat Islam. Golongan yang kurang ajar ini tidak akan berani untuk mencabar segala keputusan mahkamah mahupun suara-suara lantang pejuang sejati Islam. Tetapi, sebagaimana yang dikatakan oleh pepatah Melayu, "menangguk di air keruh". Mereka berani menunjukkan sikap biadab mereka terhadap Islam kerana perpecahan teruk yang berlaku di kalangan umat Islam itu sendiri. Perpecahan yang berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini. Nabi al-Musthofa Muhammad SAW juga telah berpesan bahawa akan sampai suatu masa bahawa umat Islam akan dikepung dan 'diratah' oleh golongan kuffar. Dan, sahabat al-kiram radhiyallahu 'anhum bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa apakah umat Islam ketika itu sedikit? Nabi al-Musthofa Muhammad SAW menjawab bahawa umat Islam ketika itu ramai tetapi lemah. Salah satu punca kelemahan wahai saudara-saudaraku, adalah perpecahan. Selagi kita saling berbalah antara satu sama lain, kita akan tetap lemah. Jadi apakah jalannya untuk mendapatkan kekuatan kembali? Bersatulah. Ya, bersatulah di atas nama Islam bukannya bersatu di atas nama parti, kabilah, mazhab, fahaman dan apa jua ideologi. Namun, ideologi Islam Liberal yang menular di kalangan masyarakat Islam bagaikan 'jarum berbisa' yang boleh merosakkan dan menghancurkan perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri. Dalam masyarakat Melayu, perumpamaan lidi sering digunakan dalam menunjukkan perpaduan. Jika sebatang lidi mudah dipatahkan, bagaimana pula dengan segenggam? Sudah tentu sukar bukan? Begitulah juga dengan perpaduan Islam.

Perpecahan di kalangan umat Islam amatlah ketara dan kritikal. Melayu-Islam sebagai majoriti di Malaysia, agak terkebelakang. Walhal isu yang disentuh adalah berkaitan agama mereka, dan bangsa mereka. Golongan daripada pihak 'biru' berselisih faham dengan golongan pihak 'hijau'. Maka di tengah-tengahnya adalah jurang yang mampu dimasuki oleh anasir-anasir kuffar untuk melemahkan orang Islam itu sendiri. Satu golongan akan mengeluarkan fatwa dan pandangan yang bertentangan sehingga kepentingan parti melebihi kepentingan agama. Na'uzubillah. Orang 'hijau' tidak akan menghadiri jemputan kenduri atau walimah pihak 'biru' kerana pihak tersebut tidak islamik. Kenapa hal semacam tidak ada penghujungnya? Sedangkan kamu menyembah Tuhan yang satu yakni Allah SWT. Sepatutnya dua golongan hijau dan biru ini bersatu atas dasar dan nama Islam, serta berusaha bersama untuk memperbetulkan apa yang salah. Berkongsi kepakaran masing-masing dalam menambahbaik pelaksanaan Islam di Malaysia. Tetapi apa yang berlaku adalah sebagaimana yang dilihat oleh tuan-tuan sendiri. Saya tidak faham kenapa pihak UMNO difatwakan kafir kerana kerjasama dengan kuffar seangkan mereka juga 'bersama' atas nama Pakatan Rakyat? Pakatan bersama kafir. Apakah hukum itu terpakai untuk satu golongan sahaja? Ataupun mereka 'terlepas' daripada hukum kerana pimpinan ulama'? Apakah si Lim itu akan bekerjasama untuk Islam? Sedangkan secara terang-terangan mereka menyatakan tidak mahu hukum Islam dilaksanakan di Malaysia. Apakah kejayaan boleh dicapai untuk hasrat ini dengan bekerjasama dengan mereka? Tidak. Saya optimis mengatakan tidak. Jawapannya ialah, kedua-dua pihak beragama Islam ini wajib bergabung untuk Islam, oleh itu Islam mampu dan kuat untuk dipertahankan bagi 'berperang' sama dengan Kristian apa pun jua mazhabnya, Yahudi apa pun jua mazhabnya, Hindu, Buddha, Taoist dan segala agama kesesatan. Jawapan yang tindakan paling tepat adalah penyatuan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Ingatkah tuan-tuan? Ketika mana pasukan Hizbullah pimpinan Sayyid Hassan Nasrallah berjuang melawan Yahudi di Lubnan. Bukankah mereka golongan Islam Syiah? Ya. Tetapi walaupun berbeza fahaman dan pegangan, mereka juga adalah umat Islam. Berhubung aqidah mereka, kita serahkan sahaja kepada Allah SWT. Al-'Allamah Asy-Syeikh Dr Yusuf bin Abdullah al-Qaradhawi mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam wajib menolong Hizbullah melawan si kuffar Yahudi. Nampak tuan-tuan? Atas nama Islam, kewajiban kita membantu mereka juga. Oleh itu, penyatuan di kalangan umat Islam amatlah penting dan bahkan WAJIB bagi mempertahankan agama Islam daripada terus dihina dan dipermain-mainkan oleh kuffar.


Sungguh keadaan ini amat menyedihkan umat Islam. Berhubung dengan keputusan itu, ulama'-ulama' kita bangkit bersuara dan saya mengharapkan suara-suara keramat alim ulama' ini tidak akan tenggelam mengikut 'musim' sahaja. Al-'Allamah Al-Fadhilatusy Asy-Syeikh Dato' Abdul Halim bin Abdul Kadir, Yang Dipertuan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang merupakan mantan Mufti Kerajaan Negeri Terengganu ketika zaman pentadbiran PAS dahulu mengatakan bahawa keputusan tersebut adalah satu tragedi dan 'hadiah' paling tidak berharga kepada umat Islam sempena tahun baru. Tetapi kenapa umat Islam masih tidak sedar-sedar? Asy-Syeikh adalah ulama' yang pada pendapat saya adalah ketua ulama' Malaysia kerana kita tidak mempunyai Mufti Negara sebagaimana negara-negara lain. Jadi suara Syeikh perlu diperhatikan dan iambil manfaatnya dalam memperjuangkan Islam, oleh itu umat Islam di Malaysia perlu berjuang bersama ulama' tanpa mengira latar belakang politik bagi menjamin kelangsungan perjuangan Islam, sebab itulah pentingnya penyatuan dan perpaduan Islam.


Al-Fadhilatusy Syeikh Dato' Abdul Halim bin Abdul Kadir


Sementara itu, Ketua Dewan Ulama' PAS, Datuk Harun Taib pula menyatakan bahawa keputusan mahkamah tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana jelas melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara Malaysia.


Datuk Haji Harun bin Taib


As-Sohibus Somahah Tan Sri Dato' Seri Harussani bin Zakaria

Mufti Perak, As-Sohibus Somahah Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani bin Zakaria pula berkata, tahap perpaduan yang rendah memberi peluang kepada pihak terbabit sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu sensitif terhadap umat Islam. Beliau adalah ulama' atau mufti yang lantang bersuara apabila isu-isu berkaitan Islam disentuh, dan aktif berdakwah. Beliau adalah ulama' yang berani bersuara berbanding mufti-mufti lain di Malaysia yang hanya menyandang mufti tetapi berdiam diri sahaja. Sungguh rugi, mereka dilantik untuk bersuara dan membela Islam, sebaliknya diam sahaja. Semoga Allah memanjangkan umur Dato' Mufti. Amin. Selama bertahun-tahun masyarakat Melayu-Islam di Malaysia hidup bersama dengan 'pendatang' yang menumpang nikmat di Malaysia ini mengamalkan ajaran agama masing-masing. Namun tidak pernah timbul soal-soal seperti ini. Jika ada pun, ianya akan dibendung awal-awal lagi. Tetapi, sekarang mereka semakin berani mencabar maruah umat Islam kerana terdapat 'laluan' ataupun peluang untuk berbuat demikian dan menuntut pelbagai permintaan yang akan memuaskan hati mereka. Bagi saya, tujuannya hanyalah satu. Iaitu untuk melemahkan dan mengelirukan umat Islam serta berusaha menarik seramai mungkin orang Islam menukar agama ke agama Kristian. Bukankah kerana maksud ini, mubaligh-mubaligh Kristian memasuki negara-negara umat Islam. Mereka berusaha untuk menyebarkan ajaran tersebut sehingga mencapai maksud mereka.


Salah satu kesan yang boleh timbul daripada musibah ini adalah kekeliruan di kalangan remaja Islam yang sememangnya ramai di kalangan mereka hanyut tanpa menghiraukan agama serta boleh mengelirukan orang-orang yang baru memeluk Islam. Kenapa ada di kalangan muallaf yang kembali ke agama asal mereka? Saya fikir, perkara ini perlu dibincangkan di kalangan para ulama' (ulama' yang ikhlas berjuang untuk Islam bukannya sibuk berpolitik dan mencari kesalahan orang lain).


Ulama' Perlu Bersuara


Ulama'-ulama' kita perlu bersuara dan berani dalam mempertahankan isu-isu seperti ini. Berjuanglah untuk mempertahankan agamamu wahai para ulama'. Bersedialah untuknya walau nyawamu dan darahmu menjadi taruhan. Bukankah para ulama' itu pewaris para Nabi, justeru itu peranan mereka sepatutnya sesuai dengan apa yang dipertanggung jawabkan kepada mereka. Tidak kira sama ada ulama' yang ternama ataupun tidak. Ter'zahir' atu tersembunyi. Peranan mereka tetap sama. Saya memohon kekuatan kepada Allah SWT untuk bersama-sama dengan mereka di dalam perjuangan ini. Para ulama' juga perlu menyampaikan pendapat-pendapat mereka kepada golongan umara' sebagai langkah menguatkan Islam sepanjang masa. Jalinan kerjasama amatlah perlu di antara ulama' dan umara'. Contoh yang paling sesuai adalah ketika zaman pemerintahan Almarhum Sultan Zainal 'Abidin III di Terengganu. Baginda akan bertanya dan bekerjasama dengan Mufti, Almarhum Sayyid Abdul Rahman al-Idrus ataupun lebih popular dengan panggilan Tokku Paloh. Baginda Sultan memenggil Tokku Paloh dengan panggilan Ayahanda. Ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan antara Sultan dan Mufti. Kebetulan juga, Sultan adalah saudara ipar kepada Tokku Paloh sendiri. Oleh yang demikian, saya memohon suara ini didengar untuk kebaikan Islam dan kita semua.

oleh: ABDUL LATIFF MOHAMAD, Ahad, 16 Muharram 1431 H, bersamaan 3 Januari 2010 M.

2 comments:

abdullatiff said...
This comment has been removed by the author.
abdullatiff said...

semoga semua saudara seIslamku bangkit berjuang. Amin.....

Post a Comment