TAHUN BARU HIJRAH 1431 H

Dengan berkumandangnya azan Maghrib pada malam 17 Disember lalu, menandakan bermulanya hari pertama dalam taqwim Tahun Baru Islam. Hari pertama yang diraikan dengan bacaan doa Awal Tahun. Inilah kaedah sambutan tahun baru dalam Islam. Dengan datangnya hari pertama ini juga, menjadi isyarat dan peringatan kepada manusia Muslim (insan). Tetapi ia mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada manusia an-naas. Peringatan bagi kita untuk menginsafi diri masing-masing. Ramai di kalangan manusia akan 'memasang' niat mereka sempena kedatangan tahun baru sama ada Hijriah ataupun Masihi. Berazam ataupun tidak, itu bukanlah persoalan yang besar. Soalnya, mampukah kita melaksanakan segalanya (yang diniatkan itu) pada latar-latar baru ini.

Azam itu bukanlah sesuatu yang penting untuk diperdebatkan. Kerana sebagai umat Islam, kita dikehendaki memperbaharui keazaman dan kebaikan kita setiap hari, bukannya sekali setahun apabila menyambut tahun baru. Inilah suatu fenomena yang berlaku dalam kehidupan kita. Adalah menjadi sunnah al-Musthofa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 60 kali sehari. Maka kita pula perlu melakukan lebih daripada itu. Saudaraku, beristighfarlah sebanyak 100 kali sehari di samping zikir, ratib ataupun wirid-wirid yang lain. Semoga kehidupan kita akan lebih bermakna pada hari ini dan hari-hari seterusnya. Kita perlu meningkatkan keupayaan kita dahulu. Memperbetulkan diri kita dahulu sebelum memandang orang lain. Nabi al-Musthofa bersabda, "ibda' bi nafsik", yang bermaksud mulakanlah dengan diri sendiri dahulu.

Semoga tahun ini jauh lebih daripada tahun sebelumnya. Amin......



oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD,
7 Muharram 1431 H, Khamis,
bersamaan 24 Disember 2009 M,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment