BERSELAWAT KE ATAS RASUL 1000 KALI

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ الْقَوِيْمِ

Alhamdulillahi robbil 'alamin. Wassolatu wassalamu 'ala Sayyiduna Wa Habibuna Wa Syafi'una Wa Maulana Muhammadin SAW, khatamul anbiya' iwal mursalin, wa 'ala alihi wasohbihi ajma'in.
Salam keberkatan ke atas semua umat Islam, umat Nabi Muhammad SAW yang terpimpin. Umat yang dinyatakan sebagai sebaik-baik umat di kalangan manusia.

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud " Kamu (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat di kalangan manusia, kamu menyeru kepada ma'ruf (kebaikan) dan mencegah kepada munkar, dan kamu beriman kepada Allah". Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang terakhir. Beruntunglah sesiapa yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan sebenar-benar iman. Nabi Muhammad SAW adalah sayyid (penghulu) kepada kita semua sebagai umat Baginda SAW. Baginda adalah penghulu, pemimpin, pensyafaat, penyelamat, pengaman di muka bumi ini. Bahkan Allah Ta'ala mencipta segala alam ini adalah untuk Baginda Nabi Muhammad bin 'Abdullah SAW.

Oleh yang demikian kita wajar dan wajib mencintai Rasulullah SAW dengan mengikuti sunnah Baginda (lakukan sekadar yang mampu - jangan ditinggalkan terus) dan berselawatlah ke atas Baginda Rasulullah SAW setiap hari secara ikhlas kerana Allah semata-mata. Berselawatlah ke atas Baginda Rasulullah SAW terutamanya pada hari ini (Jumaat) sebanyak 1000 kali. Amalkanlah selawat sebanyak 1000 kali pada hari Jumaat secara istiqamah, dan juga sebanyak 100 kali setiap hari (lebihkan jika mahu). Ganjaran selawat ke atas Rasulullah SAW adalah amat besar. Rasulullah SAW bersabda bahawa sedekat-dekat orang (umat Baginda di akhirat) adalah orang yang paling banyak berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW.

Sekiranya jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan mengingati orang berkenaan setiap masa. Begitulah juga dengan kecintaan kita ke atas Rasulullah SAW. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW, sudah tentu kita akan mengingati dan berselawat ke atas Baginda SAW. Itulah tanda kecintaan yang sebenar-benarnya. Kita hendaklah menyambut kelahiran Baginda SAW setiap minggu. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT di atas kelahiran kekasih-Nya. Selawat berasal daripada perkataan 'Arab assolah bermaksud doa atau pujian. Oleh itu, apabila kita berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW, bermakna juga kita mendoakan Rasulullah SAW. Di mimbar Jumaat, khatib akan berselawat ke atas Rasulullah SAW sebelum berkhutbah (selawat ke atas Rasulullah SAW adalah salah satu rukun khutbah yang lima). Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan. (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

Lafaz selawat adalah bermacam-macam dan yang warid daripada Rasulullah SAW adalah,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Allah berselawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad.
( An-Nasa'ie, 1292 - Sahih)

Berselawat ke atas Rasulullah SAW amatlah penting, sehinggakan doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah Ta'ala tidak dimakbulkan Allah jika tidak disertai dengan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW. Ad-Dailami meriwayatkan, "Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi SAW". Kita adalah insan yang saban waktu berdosa kepada Allah Ta'ala. Pada Hari Qiamat, kita sangat-sangat mengharapkan syafaat (pertolongan) daripada Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW bersabda, "Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari qiamat. "

Nasib kita di akhirat memanglah tidak dapat dipastikan. Apakah bahagia atau sengsara? Kalau dilihat pada diri kita umat akhir zaman ini, yang banyak cacat cela dan kekurangannya, mungkinkah kita adalah lebih layak untuk masuk Neraka daripada masuk ke Syurga. Oleh yang demikian, kita sangat memerlukan kepada syafaat Nabi Muhammad SAW untuk menolong kita di akhirat nanti.

Syafaat Nabi di akhirat nanti ada 5 jenis iaitu:

i) Syafaat Nabi untuk membebaskan umat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.
ii) Syafaat Nabi untuk memasukkan suatu kaum ke dalam Syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.
iii) Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.
iv) Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, daripada azab Neraka.
v) Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di Syurga.
2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi s.a.w. (dengan keizinan Allah jua)


Selain daripada itu juga, Rasulullah SAW telah menyatakan di dalam sabdanya bahawa " "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali. " Lihatlah saudaraku sekalian, betapa besarnya ganjaran berselawat ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, marilah kita sama-sama mendoakan Nabi Muhammad SAW dengan selawat-selawat kita ke atas Baginda SAW, dan juga merindui Baginda dengan selawat-selawat tersebut.

Semoga Allah Ta'ala memasukkan kita semua ke dalam hamba-Nya yang beriman dan mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya. Amin



oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD,
Jumaat, 21 Ramadhan 1430 H,
bersamaan 11 September 2009 M,
10.30 am, Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment