SAYYIDUL AYYAM

Assalamu'alaikum..

Salam Jumaat kepada semua umat Islam di mana jua pun berada. Alhamdulillahi robbil 'alamin. Alhamdulillahil qo'il. Wassolatu wassalamu 'ala Sayyidina wa Habibina wa Syafi'ina wa Maulana Muhammadin sallallahu 'ala alihi wasohbihi ajma'in.

Amma ba'du,

Hari Jumaat adalah merupakan penghulu hari (sayyidul ayyam) yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala kepada hamba-Nya. Hari yang mempunyai kemuliaan yang tersendiri, hari di mana Nabi Adam a.s. diciptakan, dan berbagai-bagai lagi peristiwa yang berlaku pada hari berkenaan. Solat Jumaat telah disyariatkan pada hari Jumaat ke atas umat Nabi Muhammad SAW (lelaki) dan hukumnya adalah wajib (fardhu) dan sunat ke atas kaum wanita. Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman di dalam Surah al-Jumu'ah, supaya orang-orang yang beriman menunaikan panggilan muazzin pada hari Jumaat untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Dan hendaklah bagi peniaga-peniaga yang mencari rezeki, berhenti seketika daripada aktiviti perniagaannya, jual beli (urusniaga) untuk menyahut panggilan muazzin tersebut.


Habib Umar bin Habib Muhammad bin Habib Hafiz menyampaikan khutbah Jumaat


Justeru itu, aktiviti jual beli yang dilakukan ketika azan Jumaat adalah haram. Solat Jumaat dilakukan di dalam waktu Zuhur pada hari Jumaat, dan didahului oleh khutbah Jumaat. Dua khutbah Jumaat tersebut adalah menyamai dua rakaat solat fardhu Zuhur. Oleh yang demikian, jemaah atau hadirin hendaklah mendengar khutbah itu dengan penuh khusyuk dan menganggap bahawa seolah-olah khutbah tersebut ditujukan kepada mereka. Al-Imam al-Quthub Habib 'Abdullah ibn Habib Alwi al-Haddad (seorang ulama' dan waliyullah terkenal daripada keturunan Rasulullah SAW di Tarim, Hadhrulmaut - Almarhum) berpesan kepada Muslimin di dalam kitabnya "AD-DA'WATUTTAMMAH, WA TADZKIRATUL 'AMMAH" bahawa hendaklah engkau mendengar khutbah tersebut dengan penuh khusyuk dan anggaplah bahawa khutbah itu ditujukan kepadamu.



Khutbah mempunyai beberapa rukunnya yang tersendiri. Terdapat lima rukun khutbah, iaitu:

1: Mengucapkan syukur kepada Allah (dengan lafaz Alhamdulillah atau yang seumpamanya).
2: Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3: Berpesan supaya bertaqwa kepada Allah SWT, iaitu "ittaqullah" atau seumpamanya.
4: Membaca satu ayat daripada al-Quran.
5: Doa kepada Muslimin Muslimat dan pemimpin Islam.

Seseorang Imam atau khatib hendaklah benar-benar memastikan bahawa kelima-lima rukun khutbah tersebut lengkap sebelum menyampaikan khutbah (jika khutbah yang menggunakan teks). Jika sebaliknya, khutbah tersebut tidak sah dan solat Jumaat yang didirikan juga tidak sah. Hendaklah berilmu dalam sesuatu perkara yang akan dilakukan.



oleh:
ABDUL LATIFF MOHAMAD,
Jumaat, 14 Ramadhan 1430 H,
bersamaan 4 September 2009 M,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment